Pontian terkenal dengan pelbagai tempat pelancongan yang menarik. Antaranya Taman Negara Tanjung Piai, Muzium Nenas, Muzium Bugis, Gunung Pulai, Kukup dan sebagainya.

Untuk maklumat lanjut mengenai tempat-tempat pelancongan di Pontian, pengunjung boleh ke Pusat Pelancongan Daerah seperti alamat di bawah:

 

Pusat Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Pontian

JKR 1006, Jalan Dato Ali,

82000 Pontian, Johor

 

 

TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI

 

Tanjung Piai merupakan kawasan semula jadi yang dilindungi, di mana bumi, laut, tumbuhan dan haiwan wujud dalam harmoni tanpa gangguan manusia. Taman ini menjadi tempat kediaman pelbagai jenis spesies unggas dan hidupan paya bakau yang lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam. Terletak 90 km ke selatan pusat bandar Johor Bahru, Tanjung Piai juga merupakan Taman Negara yang membolehkan para pelawat memerhati hidupan liar di paya bakau di dalam habitat semula jadinya. Bayaran masuk adalah RM3.00 bagi warga Malaysia dan RM5.00 bagi pelancong asing. Bayaran masuk boleh dibayar di Kompleks Pelawat Tanjung Piai. Laluan-laluan khas telah dibina melalui hutan paya bakau ini agar pelawat boleh menikmati pemandangan paya bakau dengan selesa. Taman yang aman tenteram ini juga telah menjadi salah sebuah destinasi perkhemahan yang popular sejak beberapa tahun yang lalu.

  

MUZIUM NENAS

 

Negeri Johor merupakan antara pengeluar utama nenas di Malaysia. Sehubungan itu, satu muzium diwujudkan bagi mendedahkan semua hal ehwal yang berkaitan dengan industri nenas di Johor. Selain itu, terdapat sebuah seksyen muzium yang menumpukan kepada kaedah penanaman, pemprosesan, pengawalan dan penyelenggaraan nenas. Terdapat juga seksyen di mana pengunjung juga boleh memperoleh maklumat berkenaan dengan sejarah perkembangan nenas di Malaysia. Di seksyen tersebut, terdapat pameran koleksi artifak, penerbitan dan maklumat paten. Apa yang lebih menarik lagi adalah di seksyen yang memaparkan pelbagai jenis nenas yang ditanam di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Muzium Nenas Negeri Johor
Batu 32, Jalan Johor, Pontian, 
Tel: (+607) 6868750 / 687 1249
Fax: (+607) 687067

 

MUZIUM BUGIS

Muzium yang terletak lebih kurang 7 kilometer dari bandar Pontian Kecil dan 12 kilometer dari Kukup Laut itu menghimpunkan kira-kira 1,715 pelbagai jenis barang antik yang berharga. Muzium yang telah mempamerkan barangan antik sejak 1982 diusahakan atas daya inisiatif pemilik muzium tersebut dengan membangunkan sebahagian rumahnya sebagai bilik pameran muzium. Muzium tersebut dibesarkan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan kewangan yang ada, yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai dan pihak Muzium Negara. Sehingga sekarang, dewan pameran muzium itu telah mengalami banyak perubahan kerana pertambahan artifak yang dijual oleh orang perseorangan kepada pemilik untuk dipamerkan sebagai bahan warisan sejarah. Baru-baru ini, pemilik muzium tersebut memperoleh empat buah meriam yang digunakan oleh tentera Bugis pada abad ke-16 di negeri Johor yang melambangkan penguasaan bangsa itu ke atas Empayar Johor-Riau satu masa dahulu. Segala peralatan seperti pinggan mangkuk, baju Bugis, alat peperangan tentera Bugis, seperti lembing, tombak, badik kelewang, bakul-bakul lama, alat perhiasan, katil, peti besi dan sebagainya dipamerkan untuk tatapan masyarakat Malaysia. Pelancong yang ingin melawat muzium ini tidak dikenakan sebarang bayaran, sebaliknya menderma seikhlas hati bagi membantu membangunkan muzium terbabit.