SEJARAH  KG PULAI SEBATANG

            Kampung ini memperoleh namanya dari adanya sebatang pokok pulai yang amat tinggi di kawasan ini. Oleh kerana tingginya, ia menjadi pedoman orang-orang yang belayar di laut apabila hendak masuk ke kuala sungai kampung ini. Bagaimanapun pokok kayu pulai yang tinggi dan bersejarah ini kini telah tumbang. Sebelum dikenali dengan nama Pulai Sebatang kampung ini dikenali sebagai Sungai Ayer Baloi Kanan yang diteroka oleh Tandang bin Ming dan Tok Serah serta beberapa pengikutnya orang-orang Bugis dari Kesang, Muar. Kampung Pulai Sebatang, Pontian, Johor  ialah sebuah Kampung Tradisi. Kampung ini terdapat beberapa lagi kampung induk iaitu kampung rangkaian yang terdapat di bawah pentadbiran kampung ini. Antaranya ialah Kampung Imam. Wak Rabu, Kampung Penghulu Tandang, Kampung Penghulu Ghani, Kampung Penghulu Manaf, Kampung Pt. Sungai Rotan Dan Kampung Pt. Tok Pandak. 

            Apabila diadakan pemilihan penghulu, Tandang bin Ming telah terpilih dan diberi tauliah oleh raja Johor pada 1 Zulhijah 1306 Hijrah iaitu kira-kira tahun 1889 Masehi. Apabila Penghulu Tandang meninggal dunia, jawatan penghulu disandang pula oleh anak Tok Serah yang bernama Abdul Manaf dan diberi tauliah pada 23 Februari 1910. Salah seorang anak Penghulu Abdul Manaf ialah Mohd. Noh yang kemudiannya menjadi Guru Pasukan Sekolah-sekolah Melayu Pontian pada tahun-tahun 1950an. Kemudiannya pada tahun-tahun 1970an menjadi Nazir Sekolah-sekolah Melayu Daerah Johor Bahru.

Pada era Dato’ Sardon Jubir menjadi wakil rakyat Parlimen kawasan Pontian Utara beliau telah mengusahakan penubuhan kilang mengetin nanas milik kerajaan di kampung ini. Walau bagaimanapun setelah kira-kira satu dekad beroperasi kilang ini merosot dan merugikan. Akhirnya terpaksa ditutup. Sebuah syarikat elektronik dari Singapura kemudian menyewa bangunan kilang ini untuk beroperasi sebagai kilang elektronik. Setelah beberapa tahun dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di sini serta luar kilang ini ditutup. Mulai tahun 2000 lalu sebuah blok kilang ini digunakan sebagai bangunan Institut Kemahiran Belia Negara yang sebelumnya berpusat di Skudai, Johor Bahru dengan dikenali Institut Kemahiran Belia Nasional Pontian. 

Pokok Pulai di Kg Pulai Sebatang, Pontian, Johor