YB Datuk Ahmad Bin Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Merangkap Ahli Parlimen Pontian, telah merasmikan Program Pengenalan Sistem Molluscure di Pangkalan Nelayan Ayer Baloi pada 10 April 2017. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong; penyelidik UTM, Dr. Abdul Rahim Mohd. Yusoff dan Pegawai Perikanan Daerah Pontian, Abd. Taib Jaafar.

Universiti Teknologi Malaysia di bawah penyelidik UTM, Dr. Abdul Rahim Mohd. Yusoff  telah menghasilkan Sistem Molluscure iaitu sejenis alat yang digunakan untuk menyingkirkan toksik daripada kerang, kupang dan tiram.

Daerah Pontian yang merupakan pengeluar kerang terbesar di negeri ini dengan anggaran pengeluaran kira-kira 1,000 tan metrik setahun melibatkan nilai jualan antara RM4 juta hingga RM5 juta, bergantung harga pasaran makanan laut berkenaan. Industri ini telah memberi manfaat kepada 250 nelayan pantai di beberapa kawasan seperti Ayer Baloi 1 dan 2, Tampok, Pulai Sebatang, Sanglang, Permas dan Kukup.

“Kemampuan sistem ini mampu memberikan keyakinan kepada orang ramai yang ragu-ragu untuk makan kerang, kupang dan tiram kerana berjaya menyahkan segala logam yang ada termasuk arsenik dalam hasil laut tersebut. “Anggaran pengeluaran makanan laut itu juga dijangka bertambah pada tahun ini, sekali gus meningkatkan pendapatan negara dan menambah pengeluaran hasil makanan negara pada masa depan.