Latar Belakang

Cikgu Norhayati merupakan seorang Pemaju Masyarakat TBK (Guru Tadika) Prt Hj Abd Karim, Ayer Baloi dan telah berkhidmat mengajar selama 3 tahun di Tadika KEMAS Prt Hj Abd Karim. Berkelulusan dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institut Perguruan Tun Hussin Onn (IPTHO), Batu Pahat dan memulakan kerjaya sebagai guru tadika pada tahun 1999. Anak ke 2 dari 5 orang adik beradik Seorang yang sentiasa bergiat aktif dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti kumpulan Yassin Prt Hj Abd Karim, Ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan ahli Kesatuan Kakitangan KEMAS Semenanjung Malaysia (KESATRIA) Daerah Pontian.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan PI

Cikgu Norhayati mula mendaftar menjadi ahli Pusat Internet (PI) Kg Pulai Sebatang pada 21 November 2009. Sejak menjadi ahli PI beliau sering datang mendapatkan tunjuk ajar dari petugas cara-cara bagaimana menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran terutama sekali kepada pelajar-pelajar beliau. Mengakui kurang berkemahiran dalam menggunakan komputer dan internet telah mendorong beliau datang ke PI untuk mempelajari penggunaan MS Word, MS Excel serta penggunaan mengakses internet. Beliau sedar pada masa kini mempelajari penggunaan komputer amat penting dalam mendidik pelajar-pelajar beliau walaupun mereka masih lagi kanak-kanak tadika. Beliau juga secara tidak langsung menggunakan peluang mempelajari bidang ICT yang diadakan secara percuma.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PI

Tugas beliau sebagai seorang pendidik di tadika KEMAS memerlukan kemahiran serta teknik-teknik untuk mengajar kanak-kanak diawal persekolahan mereka. Beliau sering merujuk kepada petugas-petugas PI Kg Pulai Sebatang untuk mendapatkan maklumat berkaitan teknik-teknik pengajaran yang lebih berkesan. Cikgu Norhayati lebih kerap datang ke PI untuk mendapatkan tunjuk ajar dan mendalami lagi bidang ICT dari petugas PI terutama sekali mengakses internet memandangkan pada masa kini sistem ‘online’ lebih banyak digunakan dalam pentadbiran kerajaan. Beliau dapat mengakses internet bagi mencari bahan pembelajaran untuk pelajar-pelajar bagi meningkatkan lagi prestasi akademik mereka disamping dapat menyelesaikan tugasan-tugasan beliau sebagai seorang pendidik kanak-kanak pra persekolahan. Beliau juga turut menggunakan kemudahan di PI seperti mencetak dokuman, fotostat, mengimbas dokuman dan sebagainya.